Sahabat Selamanya

Saturday 26 November 2011

Isu Air Kelantan- 'Pencapaian Diutamakan, Rakyat Tolak Tepi Dulu' ::

       Isu air di Kelantan muncul lagi. Kalau dulu, isu yang dimainkan adalah kegagalan Kelantan untuk membekalkan bekalan air bersih kepada setiap penduduknya. Itu isu dulu. Setelah mendapati rakyat Kelantan tidak terkesan dengan isu tersebut, ia disunting, tetapi tetap berkisar tentang air.

       Laporan akhbar baru-baru ini digegak-gempitakan dengan laporan bahawa air di Kelantan tercemar dan mengandungi logam berbahaya. (mangan kalau tak silap saya yang disebut dalam laporan tersebut). Ramai yang tampil memberikan komen. Daripada pak menteri, sampailah kepada mak cik penjual goreng pisang. Semuanya menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan negeri yang gagal menyediakan air bersih kepada rakyat Kelantan.

       Nasib baik tiada laporan polis yang dibuat. Biasalah orang kita, pantang nampak salah sikit, mulalah nak buat laporan polis. Orang ceramah agama pun buat laporan polis, orang bagi pendapat tentang pejuang kemerdekaan pun, buat laporan polis. Lepas tu buat piket. Wartawan ambik gambar, lepas tu bersurai. Lepas piket dan gambar masuk surat khabar, selesai semua masalah. Senangnya.

       Berbalik kita kepada isu air ini. Saya pernah terbaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau menyatakan dan memberi jaminan bahawa masalah air di Kelantan bakal diselesaikan jika Barisan Nasional (BN) MEMERINTAH KELANTAN. Itu jaminan beliau sebagai seorang TPM.

       Pun begitu, timbul kemusykilan di fikiran saya. Masalah air tercemar ini akan selesai sekiranya BN memerintah Kelantan? Saya ingin bertanya kepada tuan tubuh, adakah perbelanjaan untuk menyelesaikan masalah air ini akan menggunakan duit PARTI BN, dan bukannya DUIT KERAJAAN? Inilah persoalan yang kalau boleh dijawab dengan terang.

       Ini kerana, jika BN hendak menggunakan kewangan parti tersebut untuk menyelesaikan masalah air tersebut, memang patut mereka menunggu sehingga BN berjaya merampas Kelantan. Itu kalau mereka menggunakan duit BN.

       Tetapi, sekiranya mereka menggunakan duit kerajaan, saya rasa, tidak perlu menunggu perubahan dalam kerajaan negeri untuk membolehkan masalah air ini diselesaikan. Ini kerana, kapasiti NEGERI KELANTAN yang berada di dalam NEGARA MALAYSIA membolehkannya dibantu tanpa melibatkan perubahan politik di negeri tersebut.

       Tidak terlintaskah difikiran, bahawa kenyataan itu menunjukkan bahawa, Kelantan bukan setakat dianaktirikan, tetapi Kelantan telah 'dianakharamkan' yang sentiasa dipandang serong. Kenapa perlu tunggu sehingga BN memerintah Kelantan sedangkan rakyat Kelantan juga bernaung di bawah Perlembagaan yang sama dengan rakyat negeri-negeri lain? Kenapa kerajaan pusat tidak mencuba untuk duduk berbincang dengan kerajaan negeri untuk sama-sama mencari jalan penyelesaiannya?

       Pada saya, slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' seharusnya ditukar kepada 'Pencapaian Diutamakan, Rakyat Tolak Tepi Dulu'. Sebab apa? Bagi BN menang dulu, barulah kita selesaikan masalah air Kelantan yang dikatakan terkotor. Tak gitu?

.................................................................................................................................................................

p/s: artikel ini bukan untuk berpolitik, tetapi luahan seorang rakyat Kelantan yang terkesan dengan kebanyakan laporan akhbar dan kenyataan2 yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak.


1 comment:

  1. jolo boh gapo hok demo royak..setuju kawe

    ReplyDelete

Apa Kata Korang?....jom KITA kongsi....

EPL-Kita 'usha' Spurs

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...